Pages

Sunday, January 18, 2009

LAKSANA STAMAN

KOLEKSI KHAZANAH MELAYU
LAKSANA STAMAN
Dikarang oleh :
Muhammad Yusuf Bin Soleh Al-Kelantani,
Kota Bharu, Kelantan.

Terbitan : Mustafa Press, Kota Bharu, Kelantan
Tarikh : 24 Rejab 1374 bersamaan 29 Mac 1954

22) MASALAH SYARIAH
Bagaimana di bawah ini empat perkara daripada masalah-masalah syariah yang disoal orang kepada "Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan", Yang telah disahkan huraian dan sudah pun dikeluarkan jawapannya oleh Lembaga yang digelarkan "Majlis Ulama'" Kelantan, kandungan minit paper Majlis nombor 270/1934.
1. Soal - Adakah betul dan sahnya jika tukang nikah menikahkan dengan katanya :-
1- Nikah aku akan engkau akan fulanah ila akhirnya.
2- Aku nikah akan engkau akan fulanah ila akhirnya.
3- Aku nikahkan dikau dengan fulanah ila akhirnya.
4- Aku nikahkan dikau akan fulanah ila akhirnya.
Maka jawapan Majlis dengan kata - "Bagaimana perkataan-perkataan tukang nikah yang tersebut di atas itu kesemuanya betul dan sah nikahnya pada hukum syarak bagaimana nasnya pada tiap-tiap kita feqah pada babnya".
2. Soal - Jika seseorang penduduk-penduduk negeri kerajaan selat membeli seorang anak cina di situ daripada bapanya atau ibu bapanya atau daripada saudaranya atau lainnya, Bila budak itu besar hendak dinikahkan, siapa jadi wali nikahnya ?
Maka jawapannya dengan kata - "Wali Sultan atau naibnya"
3. Soal - Jika seorang karang (*karam) di laut hilang ghaib, padahal ia meninggalkan isteri - anak perempuan dan harta-harta. Maka bilakah masa lepas pertambatan nikahnya dengan isterinya dan siapa jadi wali nikah anaknya itu, dan bila masa baharu boleh dibahagikan harta-hartanya itu dan bolehkah disembahyang ghaib atasnya ?
Jawapnya dengan kata - "Tidak lepas pertambatan nikahnya dengan isterinya melainkan dengan hukuman Kadhi atau matinya, dan kemudian daripada hukumannya itu bolehlah dibahagikan hartanya itu kepada warisnya, dan tidak boleh disembahyang ke atasnya pada muktamad, dan wali anaknya sebelum daripada izinnya dan kemudian daripada hukuman Qadhi itu maka Qadhilah yang mengahwin akan dia kemudian daripada izinnya dan kemudian daripada hukuman matinya itu walinya berpindah kepada ab'adnya.
4. Soal - Qadhi-qadhi yang dijadikan oleh Kerajaan Selat - adakah sah Qadhinya pada syarak dan boleh mewalikan perempuan yang tiada berwali padahal tidak dengan tahu penduduk-penduduk dan alim-alim di dalam negeri itu masa menjadikannya?.
Jawapannya dengan kata - Sah Qadhi pada syarak dan boleh mewalikan perempuan-perempuan yang tiada walinya bagaimana nas pada kurdi dan lain-lainnya.
23) PASAL KEJADIAN GEMPA
Di dalam ilmu Geografi ada tersebut fasal kejadian gempa, ialah oleh sebab terjadi gempa itu demikian, iaitu :
1) Di dalam bumi ini ada tempat-tempat yang berongga seperti gua. Terkadang-kadang apabila terlingkuplah rongga itu maka bergoncanglah bumi di situ.
2) Di dalam tanah ada tempat-tempat yang hangat, apabila diserap oleh air tempat-tempat itu menjadilah ia wap hangat (steam) dan apakala bertambah-tambah banyak wap itu serta kuatnya maka bergoncanglah bumi itu serupalah juga seperti kita masak air di dalam cerek, apabila mendidihlah ia maka banyaklah wapnya dan pada masa itu bergoncanglah tutupan cerek itu.
Maka tempat-tempat yang selalu terjadi gempa bumi ialah tempat-tempat yang berdekatan dengan gunung-gunung berapi.
Pada ketika hendak jadi gempa itu kedengaranlah bunyi yang besar di dalam tanah, kemudian bergoncanglah bumi itu, oleh kuat sangat goncangannya maka runtuhlah segala bangunan-bangunan yang di situ. Terkadang-kadang masa itu api pun merajalela sehingga habis terbakar pekan-pekan dan kampung-kampung di situ. Kerapkali juga lautan pun bergoncang dengan menjadikan ombak dan alun yang besar sehingga jadilah bah besar di atas daratan. Dengan hal yang tersebut di atas ini beberapa banyak manusia yang hilang jiwa dan rumah tangganya.

No comments:

Post a Comment