Pages

Wednesday, September 30, 2009

TOK KENALI Ulama Peringkat Wali

Tokoh Ulama’ TOK KENALI Ulama Peringkat Wali
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan
sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu,
memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir
perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh
Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’
(istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi. Karamah Tok Kenali Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah. Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta. Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi. Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya. Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu. Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’. Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau. Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya. Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali). Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar. Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.) Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992). Penulisan Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi. Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H. Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan. Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.
———————————————————— Ingatan kuat Tok Pulau Ubi dikagumi
Oleh Mohd Azis Ngah dan Haspaizi Mohd Zain azis@bharian.com.my
Yusuf sangat kuat ingatannya dan setiap kemusykilan, beliau boleh beri jawapan dengan
menerangkan nama kitab serta muka suratnya sekali
SEBELUM merdeka, kebanyakan ulama dan tokoh agama sangat berpengaruh dalam pembentukan
sosial masyarakat kerana mereka cukup disegani berikutan peribadi dan ilmunya.

Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah adalah antara negeri yang melahirkan
ramai tokoh agama termasuk Tok Kenali, ulama tersohor yang dianggap antara tujuh wali Allah
di Tanah Melayu.




Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul
Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan
Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana ‘angin besar’ yang menyebabkan
negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk
terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.


Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah
bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut
membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.



Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk
Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti
Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan
tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan
Musa. Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak
berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun.

Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan
sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya. Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang
datang membuka pondok pengajian di situ.Suasana di situ digambarkan sebagai ‘rumput yang
panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah
dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran’. Begitulah Pulau Ubi digambarkan
yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga
Perang Dunia Kedua.


Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar
Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi
menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti. Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila
wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya
sekali. Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai
suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga
Lanas. “Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan
suara lantang untuk menasihati.
“Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang
pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya.
“Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya,
malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya,” katanya.




Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.Katanya, Yusuf
sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang
Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas. Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila
madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini. Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian
dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid. Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor,
beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran. Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di
kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau
bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.
“Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika
turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan,
hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan,”
katanya.
Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan
pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.
Biodata



· Dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada 1887 dan meninggal dunia ketika usia 90 tahun.
· Dikebumikan di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, bersebelahan pusara isterinya.
· Berguru dengan Tok Wan Ali Kutan dan Wan Ahmad Muhammad Zain Pattani.
· Belajar al-Quran dengan Abdullah Senggora.
· Ketika di Makkah, Yusof bersahabat dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Pak Da Ail.
· Antara kitab yang diajarnya iaitu Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid,
Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada dan Fath al-Muin.
· Kelebihannya ialah dalam ilmu fiqh dan tauhid.
· Di antara muridnya ialah Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti.
·
Dikurnikan enam anak;1) Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978 2) Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977) 3) Muhammad Saud (meninggal dunia) 4) Mariam (meninggal dunia) 5) Zainab (meninggal dunia)
6) Azirah
—————————————————————————–

Tok Pulai Condong ulama Nusantara
Oleh Haspaizi Mohd Zain
Abdul Samad Faqih terus gigih tuntut ilmu agama di Makkah walaupun dikatakan sudah layak
jadi pengajar KELANTAN bukan saja terkenal dengan kaum hawa yang mendominasi perniagaan, namun ia juga
berfungsi sebagai pusat kelahiran tokoh ulama seperti Abdul Samad Faqih Abdullah atau lebih
dikenali sebagai Tok Pulai Condong.
Tok Pulai Condong adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab
menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau.

Tokoh ini dilahirkan ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau
adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani. Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian
pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul
Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah
murid Syeikh Daud al-Fatani.


Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan
menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf. Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840
kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa
orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar. Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu
dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah ‘Berhamba kepada Allah
dengan sebaik hamba’. Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13
tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama
Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).



Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah
surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu. Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan
mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok. Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong
terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong.
Belia mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan
pokok pulai. Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara
seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad. Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi
membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai
Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.
“Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang
dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.
“Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal
hingga kini,” katanya.
Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh
Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan
tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung.
Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu,
mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan.
Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak
pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.
Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad
II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam.
Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih
jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.
Info


· Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala
(berhampiran kubur Siti Khadijah).
· Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha.
· Dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil.
· Senarai anak Tok Pulai Condong. Abdul Hamid Abdul Syukur Abdul Aziz Umar Muhammad Said Taib Siti Mariam Muhammad Arsyad Abdullah Muhammad Zainab Ummu Maimunah
———————————————————————————————-

Tukku Paloh memerangi jenayah aqidah di Terengganu
Oleh ABD. AZIZ ITAR (aziz.itar@utusan.com.my)
SAYYID Abd. al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh
merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19
hingga awal kurun ke-20.
Tukku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap
perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di
negeri tersebut.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada
1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum
Islam.
Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum
Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij
al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan.
Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tukku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam
memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu.
Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang
mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional.
Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur kurafat
yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat
di sana sejak sekian lama.
Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tukku Paloh menerusi kitab
itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu.
Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab
sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut.
Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah
yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan.
Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda
Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73
firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat
bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah
yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” – Riwayat al-Tabrani.
Peranan Tukku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam
masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini.
Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang
bertajuk Tukku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu.
Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan
oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk
Dr. Abu Hassan Sham.
Sumbangan
Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan
tentang sumbangan Tukku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.
Jelas Mohd. Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik
oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.
“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tukku Paloh, saya difahamkan beliau seorang
pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya
itu.
“Ketika zaman Tukku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana
kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas
membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tukku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam
membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi
perhatian utama.
Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal
Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
Senario itu memberi kelebihan kepada Tukku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam
bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem
pemerintahan kerajaan di sana.
Sebagai contohnya, Tukku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di
negeri itu.
Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang
Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu
merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd. Taufik sejak 2006.
Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana
versi pertamanya didapati daripada cucu Tukku Paloh iaitu Tukku Paloh Tuan Baru pada 2004.
Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam
perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini.
Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok
(pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan
sebagainya.
Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. Pada
umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam
sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar
menjadi ‘makang’.
Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tukku Paloh juga
merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang
penjajahan British.
Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tukku Paloh
turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.
Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang
pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.
Gelaran
Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat
kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya.
“Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada
duduknya ketika berdepan dengan Tukku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu
hendak buat apa apabila berdepan dengan Tukku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang
pernah diceritakan orang.
“Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu
dan warak seperti Tukku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar
Mohd. Taufik.
Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tukku
Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu.
Malah, Mohd. Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan
lagi watak Tukku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.
“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tukku Paloh dalam usaha
mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri
Tukku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.
“Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik,
mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tukku Paloh dalam konteks
kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.
——————————————————————————————


Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Ulama Nusantara SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini
telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang
terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan
Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul
Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.
Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus
Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di
Nusantara.
Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan
Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan
pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.
Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh
Abdul Halim Al-Kalantani.
Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas
iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan).
Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga
Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.
Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang
menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di
Mekah.
Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim
pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan
kaedah Patani di Kelantan.
Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf
ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang
ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama
Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.
PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya
yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan
yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235
H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob
bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.
Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu
pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di
Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau
telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan
pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.
Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar
kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji
Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib
Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang
tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman
mereka.
Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf,
nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain.
Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk
mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.
Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah,
Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut
tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan
adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.
Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja.
Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam
Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.
Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan
Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang
tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui
apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah
mahupun di Asia Tenggara.
Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh
Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah
mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan
merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal
hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.
Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan
memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan
tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan
Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz
bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama
kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul
Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini
tertulis di halaman terakhir.
Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang
mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga
dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan
berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi
Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.
Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa
negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s
berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.
Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan
keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat
Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.
Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang
Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui
Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya
pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.
Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: “Telah selesai faqir ilallah
Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan
menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat
dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab…..”.
Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak
dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang
digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat ‘bangsa’ dalam kalimat dalam penutupnya,
kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah ‘bahasa’ pada tempat
tersebut, bukan ‘bangsa’ seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan
dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.
Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam
Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip
Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang
kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.
Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara
baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit
kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir
hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780
itu, katanya: “Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab
kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb
Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)”.
Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan
Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan
disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam
pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf
dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.
Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini
bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya.
Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah
diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.
PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui
karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu
bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana
kerajaan Kelantan.
Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul
Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang
diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah
usuluddin, fikah dan tasauf.
Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid
beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum
beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad
ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan
dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang
menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.
Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan
kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu
pengetahuan dalam Islam).
Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah
asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan
masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum
diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan
sejarah ulama ini
—————————————————————————————————

Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
TUAN TABAL dan dua orang anak beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan
memperkenalkan mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah
seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan
beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya.
Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku
Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu,
Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian
dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa
orang lainnya.
Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam
artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota
Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab
1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam
tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini.
Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau
adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian
Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji
Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari
Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang
tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian
mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan
ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan
dengan mereka.
BAHASAN SURAT
Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir
semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama
lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat
Sa’adah wa Qudwah al-Ulama’ al-’Amilin wa ‘Umdah al-Atqiya’ al-Kamilin Fakhr al-A’yan wa
Bahjah az-Zaman wa Qurrah ‘Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih ‘an al-Ishtinab lima hawah min
‘Ulwu al-Janab Uztazuna al-’Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin
al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu’ib
‘Ali …” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya
kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1.
Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani,
lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan
‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan
Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’
Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara
dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah
kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.
Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak
Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah,
dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh
Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad
al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan
atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat
ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri
Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang
murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’.
Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani
untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji
Wan Musa menulis, “… serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh
kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli
kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu,
pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan
minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang
kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.
“Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri
dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial
yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim
kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.”
Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah
Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama
ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.
Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat
gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan
Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab
yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja.
Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan
Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir
1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga
menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan
ulama besar yang terkenal di Kelantan.
Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa.
Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan
Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: “Dan lagi adinda maklum
kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara
suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal.
Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh
memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda,
adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul?
Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat
balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya
boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada
eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat
mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan
ini supaya boleh adinda ketahui, ’’…Yang dimaksudkan pada kalimat… pada malam Selasa, 10
Rabiulawal … itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun
Masihi ialah 24 Mei 1904M.
Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa
antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10
Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan
beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan
Ulama Kelantan, hlm. 120).
Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut
riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti
Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun
setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti
Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu.
Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi
pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat
di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan
kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini
supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.”
Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas …” yang maksudnya dilampirkan
bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan
Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.
KAUM TUA – KAUM MUDA
Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum
Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana
banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan
tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan
dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan
beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.
Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa.
Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan
rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen
tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera
dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau
untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual
belikan walau dengan alasan apa pun juga.
——————————————————————————————
HAJI YAAKOB LORONG GAJAH MATI (1895-1956)
Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku ke dua abad ke-20 Masihi.
Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj. Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj.
Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar
tokoh utama ini ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota
Bharu.

Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan
mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1
April 1922,dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan
gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru
kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat
pengajian pondok terpenting di Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan.
Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau Ismaili (nama awal Maahad
Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya
sejak awal 1940 ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat
di situ sehingga 1945.

Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan
sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed
hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir
Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan
Palas, Kodiang (Kedah).

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah
Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi
Muhammad al-Azhari (pengembang Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian
mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis
ilmu hadis di Kelantan.

Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6
Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan 3 orang putera yang
dikenali ramai, iaitu;

· · Dato’ Hj. Hussain (ahli perniagaan)-pewakaf Masjid al-Muttaqin di
Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.
· · Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah
Islam Aman Kota Bharu).
· Ustaz Yusoff Zaky@ Dato’ Seri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka
Dian Kota bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal al- Quran).
————————————————————————————-
HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834-1934)

Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir,
Tok Ayah Kerasak, Hj. Nik Mat Dagu dan Hj. Ismail Pengkalan Paung, rakan akrab Hj. Abdul
Latiff Jalaluddin (Bilal Masjid Kota Bharu).

Nama penuhnya ialah Hj. Abdul Malik bin Hasan, lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar
1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Mekah
selama 14 tahun. Beliau masyhur alim al-Quran dan kitab jawi..

Selain mengajar al-Quran dan kitab jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras
amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama’ yang dijadikan
pakarrujuk oleh Sultan Mansur Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang
Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling Pekan), hukuman
ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).

Kebanyakan murid-murid Tuan Guru Hj. Abdul Malek di berkati Allah dengan ilmu mereka serta
berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.

Antara murid-murid kenamaannya ialah Tok Jerulong@ Hj. Mohd. Said Muhammad, Hj. Samat Hasan
Padang Chenok, Hj. Che Mat Taib PasirPekan Hilir, Hj. Ismail Musa Temangan, Hj. Wan Abdullah
Kg. Chap/ Sg. Pinang, Wan Hj. Khatib Bemban /Binjai, Tok Kedah@Hj. Idris Penggawa Kangkong,
Hj. Mahmood Ali (Imam Kangkong), Hj. Mohd Akib Ismail Kg. Kelar, Hj. Daud Saamah (bapa
kepada Hj. Tuan Guru Hj. Saad Kangkong), Tuan Guru Hj. Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Hj.
Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Hj. Wan Ahmad Abdul Halim
(pengasas Pondok Padang Jelapang), Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok
Selehong), Tuan Guru Hj. Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), hj. Ibrahim Tok
Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Hj. Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama
Sheikh Osman Jalluddin al-Kalantani)


Datuk kepada Dato’ Dr Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke
rahmatullah di Sg. Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.
——————————————————————————

HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882-1950)

Tokoh ulama’ perantau ‘Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir
sezaman dengan Mufti Hj. Idris, Dato’ Perdana Hj. Nik Mahmud, Tok Seridik dan Sheikh Osman
Jaalaluddin al-Kalantani.

Nama penuhnya ialah Hj. Ismail bin Hj. Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan
Hj. Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak
(Kalimantan Barat),bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat
selama suku abad (1910-1935).

Meskipun demikian, Hj. Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh Mekah
ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940
apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan
RM47.50 sebulan. Selanjutnya beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940
hingga 9 Februari 1947). Selain daripada itu dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1
Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi
Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang
masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya.

Hj. Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks ditangan. Kepetahan beliau menyampaikan
khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula terbukti sangat berkesan. Walaupun
khutbahnya agak panjang,namun ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun
kata, pandai menyelit ungkapan “segar” bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang
hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular dikalangan ahli jemaah dan
anak muridnya,malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru
agama merangkap imam di Istana baginda.

Khatib yang disegani ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada
tengah malam Isnin 18 Muharram1370 bersamaan dengan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg.
Labik, Machang-kampung asalnya.

Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak ialah Kitab Pedoman
Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka surat iaitu sebuah karya “bunga
rampai”.
——————————————————————————————–

HAJI ALI PULAU PISANG (1899-1968)

Salah seorang guru pondok di pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di Kelantan.
Merupakan harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya.
Seangkatan dengan Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad
Kangkong, Hj. Awang Lambor dan Hj. Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang
Tuman.

Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah
Hj. Mohd Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga
daripada 9 beradik.

Selain Tok Kenali, guru-guru tempatannya termasuklah Hj. Abdul Malek Sg. Pinang, Hj. Yusof
Sg. Pinang (kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulau Ubi), Tok Kemuning (di Pulau
Kundor), Hj. Omar Sg. Keladi, Pak Chik Musa, Hj. Yaakob Legor dan Hj. Ahmad Hafiz.

Namanya “timbul” kerana kealimannya dalam ilmu soraf (cabang tatabahasa Arab) sehingga
digelar “Tok Sibaweh”. Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau
Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para
pelajar pondok. Sementelahan pula seawl 1932 lagi, Hj. Ali dipilih menganggotai Jemaah
Ulama’ MAIK yang dipengerusikan oleh Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan
Kelantan).

Berikutan dengan kematian Hj. Saad Kangkong (1943) beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas
Khas di Jami’ Merbau al- Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama
di Kelantan) yang menampung ramai pelajar dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad
1940-an, berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke Masjid Muhammadi.

Antara murid-muridnya ialah Dato’ Hj. Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’
Yusoff Zaky Yaakob (pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi-Zilal al-Quran), Ustaz Hj.
Ismail Yusoff (imam Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz
Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumbuh, Hj. Zakaria
Selising, Hj. Daud Getting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj. Wan Abdul Latif
Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sg. Udang (Melaka), Hj. Abdul Rasyid Bagan Datok Perak dan Hj,.
Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).

Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Hj. Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di
Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis-11 Rejab 1388 bersamaan 3
Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu Soraf
dan terjemahan Surah Yassin.

————————————————————————————-
TOK SELEHONG (1872-1935)

Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Hj. Abdul Malek Sungai
Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok
Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman. Juga dipanggil dengan nama Hj. Abdul
Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.

Seorang daripada guru awalnya ialah Hj. Abdul Malek Sungai Pulau Pinang yang berdekatan
dengan kampungnya. Kemudian menyambung pelajaran di pondok Cha-ok, Patani –berguru dengan
Tok Cha-ok @ Hj. Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota
Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan daud Pattani, Tuan Mokhtar Bogor,Tok Syafie kedah dan
ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim diTanah Suci Mekah, pulang ke tnah Air(1921) lalu mengasaskan
pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong.Di pondok inilah beliau mengajar
dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu.Bidang ilmu yang
sangat ditumpukanya ialah Ihsanuddin atau Tasawwuf dengan Syarh Hikam Ibn Ataa’llah sebagai
teks utama.

Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zuhud.Bagi tujuan supaya hatinya tidak
tertambat kepada dunia, beliau menggali lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam
berhampiran Pondok Selehong yang dijadikanya semacam kamar khusus sebagai tempat beliau
beribadat dan bersuluk.

Bapa mertua kpd tuan guru Haji Ahmad Batu 3 Repek dan Haji Awang Beta ini kembali
kerahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan
dikebumikan dikubur selehong, Tumpat.
————————————————————————————–
HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897-1961)

Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri
Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali
Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek,
Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya,
Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai
imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk
mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said
al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di
Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau
memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah.
Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai pusat
pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir
hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan
disiplin diri yang tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian, maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya
melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor,
Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar
Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj.
Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj.
Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned Gurun, Hj. Ibrahim
Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin
Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam
Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4
Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang
tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.

No comments:

Post a Comment